Juara Liga Perdana tumbang di Melaka

MELAKA: Hujan lebat di Stadium Hang Jebat tidak menghalang Melaka United memulakan kempen Piala Malaysia dengan cemerlang apabila menumpaskan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan 2-0 pada aksi pembukaan Kumpulan C sebentar tadi.

Biarpun cuaca buruk menganggu perlawanan dan menyebabkan saingan tertangguh hampir 30 minit skuad Sang Kancil berjaya mengutip tiga mata penuh apabila memperoleh gol Adriano Narcizo pada minit ke-28 dan pemain lincah, S.Kumaahran di minit ke-65.

Kemenangan awal itu amat bermakna buat anak didik jurulatih Zainal Abidin Hassan membuka langkah awal memburu tempat ke suku akhir.

Begitupun, kekecewaan melanda skuad Hobin Jang Hobin yang masih segar selepas dimahkotakan selaku juara Liga Perdana tidak berupaya menandingi corak permainan mantap tuan rumah.

Kehadiran Tunku Besar Tampin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri menyaksikan perlawanan tersebut tidak dapat menyuntik semangat juang tinggi buat anak didik jurulatih K. Devan.

PERTAHANAN Melaka United, Sukwon Jang (kiri) bersaing dengan pemain Negeri Sembilan, Hasrullah Haniff Johan dalam aksi di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini. UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Aksi kedua-dua pasukan dihentikan hampir setengah jam oleh pengadil, Suhaimi Mat Hassan ekoran hujan lebat dan kilat yang berlaku sewaktu perlawanan baru berlangsung 19 minit.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, tuan rumah memecah kebuntuan jaringan gol pada minit ke-28, apabila sepakan kencang penyerang import dari Brazil, Adriano Narcizo dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol negeri Sembilan, Damien Lim.

Gol awal itu membuatkan skuad Hobin Jang Hobin tersentak lantas mengatur gerakan namun hampa apabila jaringan pemain importnya, Alain Kono pada minit ke-32 dibatalkan oleh Suhaimi kerana pemain itu berada pada kedudukan ofsaid.

Aksi kedua-dua pasukan kembali rancak apabila giliran pemain tengah dari Haiti, Sony Norde melepaskan rembatan kencang namun berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Negeri Sembilan pada minit ke-36.

Asakan bertali arus anak didik jurulatih, Zainal Abidin Hassan berterusan apabila selepas itu percubaan pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott pula turut ditepis keluar Damien pada minit ke-40.

Pada minit ke-65, Kumaahran memahat nama sebagai penjaring gol kedua Sang Kancil selepas melepaskan rembatan dari sebelah kiri yang terkena salah seorang pertahanan Negeri Sembilan sebelum bola bergolek masuk menggegar jaring.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*