Jangan pandang mudah Aidil Sharin

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sama sekali tidak akan memandang mudah cabaran setiap pasukan yang berada dalam Kumpulan C pada saingan Piala Malaysia kali ini, walaupun mereka tampak memiliki kelebihan di atas kertas.

Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, status pasukan pilihan yang diletakkan oleh banyak pihak kepada anak-anak buahnya tidak memberi apa-apa jaminan ketika pasukan-pasukan lain turut berpeluang mencipta kejutan.

Malah katanya, beliau yakin status seperti itu hanya akan membuatkan pasukan-pasukan lawan kian bersemangat untuk berdepan mereka bagi membuktikan kemampuan masing-masing.

“Itu sebabnya kenapa kita perlu berwaspada dan tidak memandang mudah cabaran pasukan lain. Apabila pasukan di bawah menentang pasukan di atas, mereka sentiasa akan cuba menonjol dan melakukan sebaik mungkin untuk membuktikan sesuatu.

“Sebab itu kita perlu ambil serius semua pertemuan tanpa mengira kedudukan mereka di bawah atau tdi atas. Kena bermain dengan intensiti baik supaya tidak dikalahkan oleh mana-mana pasukan akibat kelekaan,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Selain KDA FC, Kumpulan C turut disertai Melaka United, Kelantan United serta juara Liga Perdana, Negeri Sembilan.

Mengulas mengenai persiapan pasukannya, Aidil berkata, mereka akan menghadapi satu demi satu perlawanan tanpa terlalu memikirkan terlalu jauh mengenai apa yang akan berlaku selepas ini.

“Kita fokus satu demi satu perlawanan dan lihat apa yang akan berlaku selepas itu. Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku.

“Kita tak tahu mungkin sampai masanya nanti akan ada pemain kita yang tercedera atau sebagainya. Disebabkan itu buat masa ini, kita akan fokus kepada pertemuan menentang Kelantan United dulu pada Isnin ini di laman sendiri,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*