Guardiola ‘puas’ atasi Tuchel

LONDON: Pep Guardiola bukan sahaja berjaya menebus kekecewaan menewaskan Chelsea dibawah kendalian Thomas Tuchel namun turut mencipta rekod pengurus paling cemerlang di Manchester City.

City tewas tiga perlawanan berturut-turut di tangan pengendali dari Jerman itu musim lalu termasuk pada final Liga Juara-Juara Eropah di Porto, namun jaringan Gabriel Jesus di Stamford Bridge meleburkan rekod tanpa kalah Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Guardiola kini mengumpul kemenangan paling banyak sebagai pengendali City dengan merekodkan 221 kemenangan sejak mengambil alih pasukan itu pada 2016 sekali gus memadam rekod 220 perlawanan milik Les McDowell.

“Saya sangat bangga. Saya kongsikannya dengan semua orang di kelab sepanjang kami bersama. Kami melakukannya untuk kepentingan kelab. Melakukannya di sini, di laman pemenang Liga Juara-Juara dengan cara kami bermain.

“Kami lebih berani, mempunyai personaliti, ia tidak pernah hilang sejak hari pertama kerana ia berkaitan cara kami bermain, walaupun ketika tewas.

“Cara pemain-pemain memberi tindak balas sepanjang lima tahun ini membuatkan saya begitu bangga. Sebab itu kami mempunyai rekod ini,” kata Guardiola.

City akan bertandang ke Paris Saint-Germain untuk aksi Liga Juara-Juara Selasa ini, sebelum mengunjungi Anfield untuk bertemu Liverpool hujung minggu depan.

Kemenangan di Stamford Bridge meredakan kritikan ke atas Guardiola susulan keputusan seri tanpa jaringan menentang Southampton hujung minggu lalu.

Sementara itu, Tuchel mengakui kurang keyakinan diri dalam diri pemainnya menyaksikan mereka tewas kepada City.

“Kami kurang keyakinan. Dengan setiap kesilapan dilakukan, kami hilang lebih banyak keyakinan.

“Kami bermain dengan mentaliti yang kami bakal kehilangan sesuatu. Ia bukan persembahan yang baik untuk mendapat keputusan diinginkan,” jelasnya. – AGENSI

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*