sedia terima 70,000 jemaah umrah sehari

JEDDAH – Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci telah melengkapkan semua persiapan untuk menerima jemaah umrah selepas meningkatkan kapasiti jemaah kepada 70,000 orang sehari, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.

Kesemua persiapan itu dipantau rapi oleh Presiden Hal Ehwal bagi Dua Masjid Suci, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais.

Menurut jurucakap presidensi, Hani Haidar, semua jemaah akan dikendalikan mengikut langkah-langkah pencegahan Covid-19 dengan pelaksanaan struktur perkhidmatan bersepadu.

Tambahnya, beberapa perkhidmatan turut disediakan oleh pihak presidensi bersempena dengan permulaan fasa semasa, termasuk penggunaan kamera termal dan operasi penyusunan visual.

Selain itu, 11 robot yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan turut digunakan untuk proses membasmi kuman yang dipertingkatkan.

Sementara itu, kapasiti pengeluaran air zamzam turut ditambah kepada lebih 300,000 botol sehari yang akan diedarkan kepada para jemaah. – Agensi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*