E-sukan tawarkan pingat di Sukan Asia 2022

PETALING JAYA: PUBG Mobile (versi Sukan Asia) antara lapan permainan sukan elektronik (e-sukan) akan membuat penampilan sebagai acara yang menawarkan pingat pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Selain PUBG, Arena of Valor (versi Sukan Asia), Dota 2, Dream Three Kingdoms 2, FIFA (oleh EA Sports), Hearthstone, League of Legends dan Street Fighter V akan turut dipertandingkan buat julung kali, umum Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) hari ini.

AESF turut mengumumkan dua lagi acara – AESF Robot Masters dan AESF VR Sports yang dibangunma oleh Migu, akan ditampilkan sebagai sukan demonstrasi pada temasya 10 hingga 25 September 2022 itu.

E-sukan diperkenalkan sebagai acara petunjukan di Sukan Asia 2018, Indonesia.
Badan e-sukan Asia itu dalam kenyataan memaklumkan permainan e-sukan tersebut dipilih berdasarkan kriteria yang mematuhi syarat, termasuk Nilai Olimpik ditetapkan oleh AESF dan Majlis Olimpik Asia (OCA).

“Berita ini bukan hanya penting dalam menyumbang ke arah persiapan akhir untuk temasya itu, malah juga memainkan peranan besar dalam memastikan AESF mewujudkan dan memperkenalkan sistem dengan gelaran acara e-sukan dipilih untuk acara Olimpik berdasarkan kriteria dan syarat tertentu untuk dipatuhi dengan Nilai Olimpik,” kata Presiden AESF, Kenneth Fok.

Katanya, aksi kelayakan dan peringkat akhir akan diadakan tidak lama lagi.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, enam permainan – Arena of Valor, Clash Royale, Hearthstone, League of Legends, Pro Evolution Soccer dan StarCraft II – diadakan sebagai sukan demonstrasi (pingat tidak dikira secara rasmi).

E-sukan buat pertama kali dipertandingkan sebagai acara yang ditawarkan pingat pada Sukan SEA Filipina 2019 yang menampilkan enam pingat emas.

Malaysia memenangi emas dalam acara Hearthstone menerusi Dr. Yew Weng Kean.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*