Pendapatan RM1,200 untuk belanja lima sekeluarga

PETALING JAYA : Nasib Siti Zubaidah Mohamad Mokhtar, 43 diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Setelah suami meninggalkannya selepas beberapa bulan melahirkan anak bongsu mereka, dia dibuang kerja oleh majikannya ketika PKP 1.0 pada Mac tahun lalu.

Namun, dia tetap menguatkan semangatnya mencari nafkah untuk bagi menyara tiga orang anaknya, Arrisa Sofia Azhari, 9; Amir Danish Sufi Azhari, 6; dan Afiyah Safiya Azhari, 1, serta orang tuanya yang tinggal bersamanya.

“Ketika ini, saya menjadi ejen untuk beberapa produk peralatan kesihatan, namun tidak banyak produk dapat dijual memandangkan pendapatan kebanyakan rakyat Malaysia turut terjejas.

“Dengan pendapatan purata RM1,200, saya perlu berjimat cermat untuk pastikan duit perbelanjaan kami sekeluarga cukup setiap bulan,” katanya ketika ditemui dalam program Covid Emergency Appeal MyFundAction di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Medan Cahaya, di sini, hari ini.

Ayahnya, Mohamad Mokhtar Abdul Malik, 72, menderita sakit buah pinggang selain hilang sebahagian penglihatannya menyebabkan dia dan ibunya, Chewah Malik, 70, perlu berada di sampingnya.

Siti Zubaidah berkata, dia terpaksa membelanjakan RM400 setiap bulan bagi membeli ubat mata, buah pinggang dan kencing manis untuk ayahnya, dan situasi ini menambah kesulitan yang dihadapinya.

“Saya pernah memohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) tahun lalu, tetapi permohonan tersebut ditolak mereka.

“Selepas permohonan tersebut ditolak, saya sudah berkecil hati untuk memohon semula daripada mereka,” katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Operasi MyFundAction, Muhammad Azri Abdul Jalil berkata, sebanyak 63 buah Kotak Rezeki Ummah disumbangkan pihaknya kepada penduduk PPR berkenaan.

Menurutnya, pihaknya mensasarkan untuk menyumbangkan 3,000 Kotak Rezeki Ummah menjelang bulan hadapan di seluruh negara.

“Kita menerima permohonan daripada mereka yang terkesan pada PKP kali ini, namun sumbangan akan diberikan kepada individu yang benar-benar susah.

“Kita akan cuba beri sumbangan kepada mereka yang telah membuat permohonan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*