“Waktu Dah Rasa Nak Tenggelam, Kenapa Tak Berenang Keluar Dari Kapal?” Jawapan Doktor Ni Memang Padat!

Soalan ini terlalu kerap ditanya oleh warganet dalam mana-mana posting yang berkaitan tragedi yang menimpa kapal selam Nanggala KRI-402. Ada yang benar-benar nak tahu dan ada juga yang seolah-olah mempertikai kenapa tidak dilakukan sedemikian.

Agak susah apabila menghadap soalan sebegini kerana kadang-kadang ia seperti ingin membawa maksud kru kapal tersebut tidak tahu apa yang patut dibuat. Namun kita tidak boleh menyalahkan warganet secara total.

Hal ini kerana masih ramai yang tidak tahu akan ilmu dan informasi yang berkaitan laut dalam. Menyedari akan hal tersebut, seorang doktor, Hafez Iftiqar Termizi tampil memberikan penjelasan menerusi posting yang dibuat menerusi akaun Facebook peribadi.

BELASUNGKAWA KRI NAGGALA, TENTANG LAUT DAN PERUBATAN ‘HYPERBARIC’

▶️ Perginya krew KRI Naggala adalah dalam bulan baik dan ketika berbakti kepada negara. Semoga mereka digolongkan sebagai para shahid dan diberikan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan. 

▶️ Mengingati Indonesia, sebuah negara dengan ribuan pulau mengigatkan saya tentang khazanah laut yang indah yang terdapat di dalam segitiga karang dunia.

Saya sendiri dan isteri bergelar ‘Certified Open Water PADI Diver’ selepas melakukan selaman di Laut Halmahera, Raja Ampat, Papua Barat, Indonesia. 

▶️ Semalam, antara yang ditemukan dalam operasi menyelamat di Laut Bali ialah baju keselamatan yang membuktikan krew cuba menyelamatkan diri sewaktu KRI Naggala tenggelam.

Membayangkan suasana panik krew KRI Naggala sebelum tewas waktu itu terasa seram sejuk. Saya langsung mengingati filem dokumentari ‘Last Breath’ dan merasai suasana panik Chris Lemon yang hampir maut di North Sea sewaktu melakukan selaman dan terbelit pada struktur besi 100 m di bawah laut. 

TIGA KETAKUTAN MENYELAM DI LAUT

▶️ Ketakutan menyelam di laut ada tiga. 1. KEGELAPAN. 2. TEKANAN AIR. 3. KESEJUKAN MELAMPAU.

AYAT AL-QURAN MENGENAI GELAP GELITA LAUT DALAM

▶️ Quran menceritakan tentang gelap gelita di lautan dalam – ‘gelap gelita yang bertindih-tindih (lapisan demi lapisan)’ sehingga jika diletakkan tangan sendiri di hadapan muka pun tidak kelihatan (An-Nur, 40).

Melepasi 200 m dalam, cahaya jadi semakin suram dan menggelap. Setiap kali menyelam, ternampak sahaja jurang gelap di dasar laut cukup menjadikan hati takut. 

▶️ Kegelapan ini menyebabkan kita tidak tahu sama ada kita berenang ke atas, kebawah atau ketepi. Seolah-olah memejam mata.

Ini menjadikan kita panik, bernafas laju dan menyebabkan oksigen dalam tabung oksigen digunakan dan habis dengan sangat cepat. Lebih memburukkan keadaan, laut mempunyai arus yang tersendiri yang boleh menghanyutkan. 

HYPOTHERMIA – KESEJUKAN MELAMPAU DI LAUT DALAM

▶️ Kesejukan melampau dalam istilah perubatan dipanggil hypothermia. Badan berfungsi dengan baik sekitar suhu 36. Bila suhu mencecah 28 darjah, seseorang boleh tidak sedarkan diri.

Air menghilangkan suhu dari badan 20 – 25 kali lebih laju dari udara. Pada suhu air 0 darjah Celcius, hanya perlu antara 15-45 minit untuk seseorang menjadi tidak sedar (unconscious). Mandi di pantai pun boleh menyebabkan kesejukan, inikan pula 800 m di bawah air. 

▶️ Istilah ‘hyperbaric medicine,’ lahir dari wujudnya tekanan yang dikenakan air. Tekanan air menimbulkan masalah sewaktu sedang menyelam juga sewaktu berenang ke atas untuk timbul di permukaan.

Antara pantang larang menyelam ialah menahan nafas (never hold your breath!) dan timbul dengan terlampau cepat (rapid ascents). 

▶️ Semakin dalam kita menyelam, semakin kuat tekananan air yang ditanggung badan. Standard selaman ‘recreational diving’ sekitar 18m, itu pun ada yang pernah pecah gegendang telinga atau pecah kapilari mata (subconjunctival haemorrhage, mask squeeze).

Nasib kapal selam yang perlahan-lahan tenggelam ke kedalaman 800m ialah perlahan-lahan meretak disebabkan tekanan air ini.

▶️ Paru-paru manusia mempunyai udara, dan udara mengembang dan menguncup bergantung kepada tekanan persekitaran. Menyelam boleh menyebabkan ‘pulmonary barotrauma’ apabila penyelam timbul terlalu cepat atau menahan nafas sewaktu selaman.

Udara yang terperangkap dalam paru-paru dan salur darah akan mengembang dan menyebabkan ‘gas embolism’ (udara yang menghalang pengaliran darah) yang mengakibatkan masalah seperti ‘stroke’ dan ‘serangan jantung’ dan paru-paru meletup/bocor (pneumothorax). 

▶️ Begitulah manusia, ditentukan Tuhan untuk hidup pada had dan julat tertentu. Innalillah wa inna ilahirojiun. Dari Tuhan kita datang, kepada Tuhan kita kembali.

BACA JUGA : “Mereka Keluarkan Escape Suit, Tapi Tak Sempat Pakai” Penemuan Sut Khas Terkoyak, Anak Kapal KRI Nanggala Ada Cubaan Selamatkan Diri Dari Kapal

WARGANET MULAI FAHAM

Perkongsian yang padat dengan informasi dan ilmu daripadanya telah membuka mata dan minda serta merungkai segala persoalan yang bermain di fikiran warganet. Namun ada juga yang mengatakan supaya tidak dikongsi perkara sebegini untuk mengelakkan ahli keluarga mangsa berasa lebih sedih. 

Sebenarnya dengan berlaku musibah sebegini, secara tidak langsung semua orang akan mengambil tahu ilmu-ilmu yang selama ini diabaikan.

Dengan ilmu sebegini, kita juga akan menjadi lebih rajin untuk mengkaji dan mendapatkan ilmu dari sumber yang betul serta tidak lagi melakukan andaian sendiri sebagaimana yang sering kita lakukan selama ini.

Diharap dengan penjelasan ini, semua yang membacanya akan memperoleh manfaat. Sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah buat mangsa yang beragama Islam dan semoga mereka semua ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

SUMBER : FB HAFEZ IFTIQAR TERMIZI & SIAKAP KELI

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*