Pm Muhyiddin Yassin Bersuara Tentang Peniaga Kecil Yang Kena Kompaun Pada Harga Yang Tinggi

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengingatkan agensi penguat kuasa yang menjalankan kawalan dan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 supaya menggunakan pendekatan lebih berhemah.

Katanya, ketegasan penting untuk memastikan peraturan dipatuhi tetapi dalam masa sama perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan terhadap tindakan bakal dikenakan.

“Perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan yang diambil menurut ruang lingkup undang-undang supaya usaha kita untuk mendidik masyarakat atau komuniti akan lebih diterima.

“Hal ini sangat penting, terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19 yang memberi kesan sangat besar kepada kehidupan rakyat. Ada (rakyat) yang berikhtiar menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan seperti menjual burger, makanan ringan, minuman ataupun hasil tanaman masing-masing.

“Mereka ini bukanlah pemilik syarikat atau pertubuhan perniagaan yang besar tetapi hanya pemegang lesen untuk berniaga sendiri secara kecil-kecilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19, hari ini.

Jual burger depan tangga rumah, peniaga kecewa dikompaun RM50,000

Muhyiddin turut berharap kerjasama dan persefahaman yang baik antara masyarakat serta pihak penguat kuasa akan mampu memperkasakan lagi komuniti untuk bersama-sama menjayakan usaha membendung penularan jangkitan virus Covid-19.

Katanya, yakin jika sikap saling mengingatkan ini diamalkan, maka amalan norma baharu dalam kehidupan dapat dibudayakan.
Media sebelum ini melaporkan peniaga burger dan colek di Kelantan masing-masing dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa.
Peniaga berkenaan mendakwa didatangi penguat kuasa melakukan pemantauan terhadap pematuhan SOP dan terus menulis kompaun dengan nilai berkenaan.

Kedua-dua peniaga kecil itu tidak berkemampuan untuk menjelaskan kompaun terbabit dengan peniaga colek berkata lebih memilih memasuki penjara.

Sementara, Kementerian Kesihatan (KKM) semalam memaklumkan akan menilai semula kes berkenaan peniaga burger terbabit sama ada diberi pengurangan atau pengecualian.

Kredit:Hmetro

Kompaun terhadap peniaga burger bukan dibuat sesuka hati

KOTA BHARU: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu mengesahkan pihaknya mengeluarkan kompaun RM50,000 kepada peniaga burger yang membuka gerai di hadapan rumahnya di Jalan Panji, di sini yang tular hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kompaun dikeluarkan terhadap peniaga burger itu kerana dia didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di Kelantan ketika ini.

Jelas beliau, polis sebelum ini menerima aduan penduduk kampung bahawa peniaga itu sering berniaga melebihi masa dibenarkan iaitu pukul 10 malam ke atas dengan ramai pelanggan didapati duduk dan makan di situ.

“Kita telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati peniaga itu melanggar SOP yang ditetapkan.

“Pihak polis kemudiannya telah menyerbu premis terbabit kira-kira pukul 11.30 malam tadi dan bertindak mengeluarkan kompaun terhadap peniaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tegas Abdul Rahim, pihaknya bukan mengeluarkan kompaun sesuka hati tanpa budi bicara, sebaliknya tindakan tegas demikian diambil apabila memang terdapat perbuatan yang melanggar SOP ketika dalam PKP.

“Bagaimanapun, peniaga tersebut boleh mengemukakan rayuan pengurangan kompaun kepada Jabatan Kesihatan Kelantan dan nilainya tidak akan mencecah sampai RM50,000,” katanya.

Terdahulu, tular seorang peniaga burger dikenali sebagai Wan Mohd. Faisal berkongsikan kisahnya dikompaun sebanyak RM50,000 oleh polis ketika sedang berniaga di hadapan rumah sendiri di akaun Facebook miliknya.

Perkara itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya mengecam pihak berkuasa dengan menyifatkan tindakan mengeluarkan kompaun tersebut sebagai zalim tanpa menggunakan budi bicara.

Kelantan kini dikenakan PKP sehingga 29 April depan, susulan kes positif Covid-19 yang terus melonjak naik termasuk hari ini dengan 343 kes dan kekal sebagai tiga negeri paling tinggi kes jangkitan pandemik tersebut. – UTUSAN

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*