“Ada Sekolah Sampai Kena Bukak Tunjuk!” Tindakan Guru Check Haid Pelajar Dianggap Keterlaluan.

Isu mengenai pemeriksaan pelajar haid atau tidak untuk solat berjemaah di sekolah bukanlah satu isu baru. Namun, ia mula mendapat perhatian ramai kerana tindakan sesetengah pihak yang melampaui batas sehingga menimbulkan reaksi yang pelbagai dari banyak pihak.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), mereka akan mula melakukan siasatan dan pemantauan terhadap sekolah yang didakwa melakukan “pemeriksaan datang bulan” terhadap pelajar perempuan semasa bulan Ramadan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula berkata, dia sangat memandang serius hal ini. Baginya, hal sebegini tidak sewajarnya berlaku. Disebabkan oleh itu, siasatan akan dilakukan oleh pihaknya bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

“Perkara ini tak wajar dan tak sepatutnya berlaku di sekolah, jadi saya pandang serius, saya akan buat susulan dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan dan MARA supaya perkara ini tak terjadi lagi. Ia amat mengejutkan, tidak boleh diterima pun pada akal fikiran kita,” katanya kepada media.

MARA JUGA MULA MENJALANKAN SIASATAN

Tidak terkecuali, Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya juga sudah mula untuk menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti dakwaan tersebut. Mereka yang turut mendapat laporan bahawa terdapat sekolah yang melakukan pemeriksaan sedemikian bagi mengelak pelajar ponteng solat ketika bulan puasa.

DIMINTA MEMBUKA PAKAIAN DALAM UNTUK PEMERIKSAAN

Sebelum ini tular di laman Twitter beberapa pelajar mendedahkan terdapat pemeriksaan sedemikian di sekolah. Apa yang lebih merisaukan adalah mereka juga mendakwa turut diminta membuka pakaian dalam bagi membuktikan mereka sedang dalam haid dan tidak boleh berpuasa.

Rata-rata warganet faham kenapa diminta untuk memberitahu, memeriksa dan mencatat mengenai haid pelajar perempuan. Hal ini kerana ada sesetengah pelajar perempuan yang sengaja menipu haid untuk mengelakkan diri daripada berpuasa dan solat.

Namun, andai benar dakwaan pelajar-pelajar terbabit, maka tindakan yang dilakukan oleh pihak sekolah adalah sangat tidak wajar dan tidak masuk akal.

TURUT MENDAPAT PERHATIAN MUFTI

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor juga turut mengatakan bahawa pemeriksaan kemaluan individu adalah satu tindakan yang tidak wajar dan memalukan bagi mana-mana individu. Tidak kira apa alasan sekalipun, tindakan tersebut adalah keterlaluan. 

Menurutnya lagi, setiap individu mempunyai maruah diri dan hak privasi yang wajib dihormati oleh orang lain. Ia termasuklah hak menutup bahagian-bahagian sulit tubuh mereka daripada dilihat oleh orang lain.

“Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat,” katanya.

RESPONS WARGANET

Rata-rata warganet juga menentang tindakan sebegini daripada pihak sekolah. Ada yang mencadangkan supaya tidak perlu terlalu keterlaluan. Cukuplah sekadar menasihat dan menegur pada kadar yang sepatutnya seperti apa yang disarankan oleh seorang pengguna Facebook ini.

Namun, perkongsiannya ada yang menerima dengan hati yang terbuka dan ada juga yang membangkang dengan alasan mindset sebegini adalah salah.

Namun, dia yang merupakan seorang guru memberikan justifikasi yang sewajarnya dan turut disokong oleh seorang lagi pengguna Facebook lain yang faham bahawa zaman sekarang agak sukar cabarannya kerana banyak kejadian saman menyaman guru oleh ibubapa.

LATIH DIRI AGAR JUJUR

Salah seorang pengguna Facebook turut mengatakan bahawa apa yang perlu dilakukan adalah melatih diri supaya jujur dengan perkara-perkara sebegini kerana jika tidak, ia akan menjadi satu paksaan. Jika terpaksa, akan lebih jauh diri mereka dengan kebaikan. 

“Pelajar yang berbohong perlu diperiksa…”

Antara cadangan lain yang boleh dipertimbangkan adalah jika pelajar tersebut terlalu kerap mengaku sedang haid, dia perlu diperiksa. Cumanya pelaksanaan itu sahaja perlulah tidak sampai ke tahap memeriksa kemaluan. Cukup dengan sekadar mencatat hari dan tempoh haid pelajar tersebut. Dari situ kita boleh menilai samada pelajar tersebut bercakap benar atau berbohong.

WAKTU REMAJA KITARAN HAID TAK NORMAL

Tidak kurang juga yang mengetengahkan fakta bahawa kitaran haid sewaktu remaja ada masanya tidak normal. Tidak pelik jika ada yang haid dua kali sebulan. Jadi, jika benar ia berlaku, guru perlu segera memaklumkan kepada ibubapa untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Berat sebenarnya tugas seorang guru pada zaman kini. Hanya mampu menegur dan menasihat. Untuk mendidik dengan lebih tegas, bersedialah untuk disaman atau dimarahi ibubapa.

Namun, ia perlulah dilakukan pada kadar yang sepatutnya dan tidak melampaui batas. Tidak perlu untuk menunding jari pada sesiapa kerana baik daripada pihak sekolah, pelajar dan ibubapa, semuanya ada kesilapan dan kekurangan mereka sendiri.

Bagaimana didikan daripada ibubapa, begitulah anak-anak. Guru-guru pula hanya bertindak sebagai “ibubapa kedua” sahaja. Masing-masing ada tanggungjawab dan amanah untuk dilaksanakan. Kita sebagai warganet juga mempunyai amanah yang sama untuk saling menegur dan mengingatkan.

SUMBER : ASTRO AWANI & PENANG KINI

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*