Zii Jia kini No. 8 dunia

PETALING JAYA: Kejayaan muncul juara All England, Ahad lalu membolehkan Lee Zii Jia melonjak ke tangga kelapan dalam ranking dunia yang dikeluarkan Badminton Dunia (BWF) lewat malam tadi.

Kemenangan 30-29, 20-22, 21-9 ke atas Viktor Axelsen membolehkan pemain berusia 23 tahun itu mengutip 12,000 mata, sekali gus mendaki dua anak tangga dengan mengumpul 69,389 mata daripada 25 kejohanan yang disertai.

Biarpun kalah kepada Zii Jia pada suku akhir, bintang Jepun, Kento Momota mengekalkan kedudukan perseorangan lelaki No. 1 dunia dengan 109,118 mata.

Jaguh Denmark, Axelsen (98,486) dan Anders Antonsen (94,875) kekal di tempat kedua dan ketiga dunia.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut mencatat kenaikan dengan mendaki tiga anak tangga ekoran kejayaan mara ke suku akhir All England.

Juara Terbuka Switzerland itu menghuni ranking ke-19 dunia dengan mengumpul 47,015 mata.

Dalam perseorangan wanita, Soniia Cheah (38,931 mata) turun satu anak tangga ke kedudukan 33 dunia, manakala S. Kisona (25,184 mata) naik dua anak tangga untuk berada di ranking ke-60.

Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga naik satu anak tangga ke kedudukan ke-11 dunia dengan 62,770 mata, manakala Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kekal di tangga ketujuh dan Goh Soon Huat-Shevon Lai jatuh satu anak tangga ke ranking ke-12.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*