Azizul sasar 2 emas Olimpik

PETALING JAYA: Bukan satu, tetapi dua pingat emas menjadi sasaran jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dalam Sukan Olimpik Tokyo bermula Julai ini.

Sedia maklum, acara kegemaran Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman adalah keirin, menyaksikan dia pernah merangkul gelaran juara dunia pada 2017.

Bagaimanapun baru-baru ini, anak jati Terengganu itu meraih suntikan semangat dalam persiapan ke Olimpik apabila menghuni kedudukan teratas dalam ranking dunia acara pecut.

“Semua orang tahu acara kegemaran saya keirin. Peluang lebih cerah kerana bukan melibatkan kekuatan kayuhan semata-mata tetapi taktikal juga memainkan peranan yang sangat penting.

“Untuk pecut pula, saya telah bertambah baik dengan banyak hasil dari kerja keras yang kami buat bertahun-tahun sebelum ini.

“Pecut melibatkan kekuatan tulen, yang mana pelumba dengan saiz badan besar akan mempunyai banyak kelebihan.

“Bagaimanapun saya dan pasukan telah merapatkan jurang tersebut dengan projek jisim otot dan seperti kita lihat semuanya berjalan seperti yang dirancang.

“Apa pun saya pergi ke Olimpik Tokyo ini dengan fokus kepada dua-dua acara dengan harapan kedua-keduanya akan membawa kilauan emas,” kata Azizulhasni ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Minggu lalu, pelumba berusia 33 tahun itu meneruskan rentak cemerlangnya dengan menjuarai acara pecut dalam Kejohanan Trek Pecut Victoria di Melbourne, Australia.

Dalam Sukan Olimpik 2016 di Rio, Azizulhasni melakar sejarah meraig pingat gangsa keirin.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*