Untung bersih PCG

PETALING JAYA: Petronas Chemical Group Berhad (PCG) mencatatkan keuntungan bersih RM1.63 bilion untuk tahun kewangan 2020, turun 42.08 peratus berbanding RM2.81 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, syarikat itu mencatatkan tiga peratus peningkatan jumlah pengeluaran tahun ke tahun pada kadar penggunaan loji yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 94 peratus berbanding 92 peratus pada 2019.

Menurut syarikat tersebut, pendapatannya kekal kukuh pada RM14.4 bilion, walaupun mencatatkan penurunan tahun ke tahun sebanyak 12 peratus disebabkan purata harga produk yang lebih rendah.

“Ia lantaran tindakan efektif kumpulan dalam mengekalkan jumlah penjualan sewaktu kemerosotan pasaran yang diakibatkan oleh wabak dan didorong oleh susulan pemulihan pasaran pada separuh kedua 2020.

“Perolehan sebelum faedah, percukaian, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing berjumlah RM3.5 bilion dan RM1.59 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah berkata, tahun lalu merupakan pengalaman luar biasa, yang mana seluruh dunia bersama-sama mengharungi cabaran yang sukar.

“Impak daripada kegagalan rundingan OPEC+ wabak Covid-19 telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan permintaan yang berkurangan sehingga mengakibatkan kemelesetan ekonomi yang serius.

“Walaupun dengan kesukaran persekitaran baharu yang mencabar, PCG telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. PCG mengakhiri 2020 dengan kukuh hasil daripada tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan operasi dan komersial, didorong oleh momentum pemulihan suku keempat 2020,” katanya.

Menurut beliau, pada suku akhir 2020, harga produk petrokimia semakin pulih dengan peningkatan harga minyak mentah serta pertumbuhan permintaan didorong oleh prospek ekonomi yang optimis.

“Momentum pemulihan telah dapat dilihat pada awal 2021 dan kami menjangkakan peningkatan yang lebih baik tahun ini jika permintaan terus pulih dan harga minyak mentah kekal melebihi AS$50 (RM202.14) setong kerana ini memberi petanda baik bagi harga produk utama kami.

“Bagi memaksimumkan keuntungan, PCG akan terus meningkatkan produktiviti dan kecekapan kami serta menerapkan disiplin kewangan yang tegas, terutamanya dengan beberapa perancangan penyelenggaraan loji pada tahun ini,” katanya.

Sazali berkata, syarikat menjangka membelanjakan sekitar RM6 bilion bagi derivatif dan bahan kimia khusus dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

Syarikat juga katanya, bakal melabur dalam pembinaan kemudahan baharu untuk menghasilkan rangkaian produk yang lebih luas bagi mengukuhkan lagi daya tahan. – UTUSAN

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*