Sunday, 28 February, 2021

Isteri Buat Pinjaman Peribadi Untuk Beli Superbike. Isteri Senyap Senyap Jumpa Pegawai Bank Minta Jangan Luluskan, Rupanya Ini Sebab Kenapa


SUDAH menjadi tanggungjawab seorang suami untuk memberi nafkah kepada isteri dari segi zahir mahupun batin.

Namun, perkara ini kadangkala dianggap ketinggalan zaman atas alasan untuk hidup di dunia sekarang anda perlu buang sikap kedekut atau pentingkan diri.

Baru-baru ini, perkongsian di laman Facebook mengenai kisah pasangan suami isteri yang membuat permohonan pinjaman peribadi kakitangan awam yang dimuat naik pada Isnin tular dengan meraih lebih 9,200 perkongsian (share).

Menerusi posting di Facebook, Eira Prislla mendakwa pernah mengendalikan satu kes pinjaman seorang jururawat yang mana suaminya yang bertindak menghantar permohonan manakala jururawat berkenaan hanya duduk di belakang diam mengendong anak.

Umum mengetahui, seorang penjawat awam mempunyai kelebihan kerana mudah untuk membuat permohonan pelbagai pinjaman, berbeza dengan pekerja swasta atau yang bekerja sendiri.

Berdasarkan perkongsian tersebut, suaminya dilihat seakan-akan mengambil kesempatan terhadap pekerjaan isterinya yang merupakan seorang penjawat awam.

Menurut posting tersebut, selepas empat hari menghantar permohonan wanita itu menghubunginya melalui WhatsApp, memintanya untuk tidak meneruskan pemprosesan permohonan pinjaman berkenaan.

“Kemudian si suami pula menghubungi pejabat untuk tanya status permohonan. Kami yang urus loan ni semakin pelik, jadi saya kata permohonan sudah dibatalkan sebab ada yang minta untuk dibatalkan.  Kemudian si suami kata, nanti dia cakap dengan isteri. Tolong teruskan proses itu sebab tujuan loan dibuat untuk beli superbike berharga RM86,000.

“Masuk minggu seterusnya isteri lelaki itu menghubungi saya dan minta untuk berjumpa. Saya jumpa wanita itu di luar, dia merayu-rayu pada saya. Katanya tolong kesiankan dia, suaminya tak pernah tanggung serta beri nafkah untuk dia dan anak-anak,” kata Eira menerusi posting tersebut.

Dia difahamkan, wanita itu pernah diceraikan dan kemudian rujuk semula atas alasan anak-anak masih kecil. Dia mengambil keputusan untuk menerima semula suaminya selepas dipujuk oleh keluarga mentua, tetapi perangai suaminya tetap sama.

Salah satu keratan akhbar berhubung isu ini.

Tambah jururawat itu, segala hutang rumah, pinjaman peribadi ditanggung olehnya dan jika permohonan pinjaman terbaharu ini lulus, dia terpaksa menanggung hutang motosikal pula.

“Dia kata kalau kasihankannya, tolong beritahu suaminya bahawa pinjaman ini ditolak oleh pihak bank.

“Kasihan pada wanita ini, saya buat seperti mana yang dimintanya. Dan seperkara lagi, si suami ada wanita lain. Sudahlah si isteri tak diberikan nafkah. Guna nama isteri untuk tujuan dan kesenangan diri sendiri,” tulisnya yang merupakan seorang pengurus pembiayaan peribadi kakitangan awam.

Selepas mengetahui permohonan tersebut gagal, lelaki itu cuba menghubungi Eira dan memintanya memasukkan permohonan pinjaman itu ke koperasi pula.

“Saya cakap bank dah tolak. Kalau masuk koperasi kemungkinan juga akan ditolak. Sebab syarat koperasi juga lebih kurang bank. Sepertinya dia sedikit kecewa.

“Saya ada simpan nombor telefon lelaki tu untuk data pelanggan dan apabila saya periksa WhatsApp, terpampang gambar lelaki tu bersama wanita lain dengan mesra berpelukan,” kata Eira.

Sejurus mengetahui perkara itu, Eira mengambil keputusan untuk melupuskan permohonan tersebut dan isteri lelaki itu mengucapkan terima kasih sambil kedengaran nada sedikit sebak mencari kekuatan.

“Duhai lelaki, wanita itu untuk kau tanggungi nafkahnya. Untuk kau berikan kasih sayang dan menjaga maruah serta keselamatannya. Bukan untuk kau jadikan hamba dan bibik di rumah. Malah kau bebankannya dengan hutang,” luah Eira.

Sumber : MSTAR ONLINE

0 comments on “Isteri Buat Pinjaman Peribadi Untuk Beli Superbike. Isteri Senyap Senyap Jumpa Pegawai Bank Minta Jangan Luluskan, Rupanya Ini Sebab Kenapa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!